Mula memberanikan diri membuka blog www.ummuhusna99.blogspot.com
dan merakamkan setiap artikal, coretan santai dan sajak di dalamnya, blog
tersebut dijadikan medan pertama Noraslina Jusin berjinak-jinak dalam
bidang penulisan. Dari blog tersebut juga, Noraslina dilamar Karya Bestari
untuk menerbitkan sebuah buku bertajuk Bicaralah Atas Nama Kasih dengan
kerjasama suaminya Dr Zaharuddin Abdul Rahman.
Menurut Noraslina, Kata-kata semangat yang diberikan oleh suami
mendorongnya untuk menyahut lamaran tersebut lantas terhasilnya sebuah garapan
pertama yang berbentuk dakwah dan motivasi untuk tatapan umum. Tambahnya,
Bicara Atas Nama Kasih ini merupakan himpunan sebahagian karya yang terdapat
didalam blognya disamping tambahan bonus berupa dua artikel daripada suami yang
dikasihi...
“Setakat ini, saya baru sahaja menghasilkan sebuah
buku dan Bicara Atas Nama Kasih ini merupakan buku pertama. Diharapakan, dengan
menghimpunkan dan mempersembahkannya dalam bentuk sebuah buku akan lebih
memudahkan rujukan dan bacaan secara santai tanpa perlu membuka computer,” kata
Noraslina. Menjelaskan tentang isi kandungan buku pertamanya ini, Noraslina
memberitahu, buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama dengan setiap
satunya mengandungi beberapa sub-topik yang bersesuaian dengan tajuk artikel di
bawahnya.
“Walaupun tema utama merupakan cerita dan ragam saya
meneladani suami dan anak-anak, akan tetapi saya berharap agar pembaca
menyelami rentetan kisah kehidupan kami ini dengan tujuan mencari kebaikan yang
boleh dimanfaatkan dan diaplikasikan pula dalam keluarga masing-masing,”
katanya lagi. Menanyakan perancangannya
di masa akan datang, Noraslina kini sedang berjinak-jinak dalam menghasilkan
buku kanak-kanak. Namun pengisiannya di dalam blog akan tetap diteruskan kerana
bagi Noraslina, blog merupakan medannya untuk terus berdakwah kepada masyrakat.