السلام عليكم
6 Sep – Filem komedi seram arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, "Hantu Bonceng", telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan, sekaligus mencipta sejarah dengan kutipan tiket tertinggi ketika musim perayaan.
Ditayangkan serentak pada 31 Ogos lalu di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei, lebih 500,000 penonton telah menyaksikan filem lakonan Zizan Razak dan Juliana Evans ini di pawagam berdasarkan perkiraan tiket yang bermula daripada tarikh filem ini ditayangkan sehingga 4 September lalu.
Menerusi siaran akhbar daripada Excellent Pictures, Ahmad Idham mengucapkan terima kasih atas sokongan pelbagai pihak dalam mencipta sejarah perfileman tanah air, termasuklah media, barisan pelakon filem "Hantu Bonceng" serta penonton.
"Saya menyeru kepada semua pihak yang belum atau yang sudah menonton "Hantu Bonceng" untuk pergi ke pawagam bersama teman-teman dan sanak saudara di Aidilfitri ini. "Hantu Bonceng" adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara.
"Sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan yang diterima ini berterusan untuk memastikan "Hantu Bonceng" mampu melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan dan kita mampu berbangga dengan produk filem sendiri," kata Ahmad Idham melalui siaran akhbar tersebut.
Selain Zizan Razak dan Juliana Evans, "Hantu Bonceng" turut dibantu oleh Jue Aziz, Taiyuddin Bakar, Dottie dan Zahid AF.
sumber