4 Nov – "Saya sendiri tidak mengetahui bahawa akan ada babak tersebut". Itulah kata Angah Raja Lawak (gambar, tengah)ketika ditanya tentang satu babak dalam filem terbarunya arahan Bob Hashim, "Alamak Toyol! " yang sudah ditayangkan di pawagam pada 3 November lalu.
Dalam babak yang dikatakan mungkin mencipta kontroversi itu, toyol (lakonan Afiq Izzudin) tersebut telah menghisap puting Angah.
"Sebelum penggambaran bermula, Afiq telah berbincang dengan Bob terlebih dahulu tanpa pengetahuan saya. Apabila penggambaran bermula, Bob telah meletakkan Afiq di atas bahu saya. Apabila 'action' sahaja, Afiq terus mengigit puting saya tanpa main-main sehinggakan saya rasa ngilu," jelas Angah ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Along Cham (gambar, kiri) yang turut digandingkan bersama dalam filem komedi tersebut, rasa ngilu turut dirasainya yang duduk bersebelahan Angah ketika itu.
"Babak tersebut mengambil masa dan perlu ulang hampir 10 kali. Apabila Angah dan Afiq melakonkan babak tersebut, saya yang duduk bersebelahannya turut terasa ngilu."
Apabila ditanya jika babak itu akan menimbulkan sebarang isu atau pandangan negatif terutamanya kepada kanak-kanak, Angah menganggap babak tersebut tidaklah melampau.
"Jika ia dipandang negatif, maka babak tersebut akan jadi negatif. Pada pendapat saya, babak tersebut tidak melampau. Ia bukanlah babak yang menampilkan aksi ranjang atau ghairah kerana itulah yang baru kita boleh katakan negatif," jelas Angah.
"Alamak Toyol!" turut dibintangi Hamid Gurkha, Yank Kassim, Adeline Tsen dan ramai lagi.
Sumber dari yahoo.com